Wednesday, May 16, 2012

Janda selamba hisap syabu depan anak


KUALA LUMPUR: Dia layak digelar janda gengster! Selepas diceraikan suaminya, wanita ini cuba melupakan masalah dihadapi dengan cara songsang apabila terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan kumpulan kongsi gelap.

Lebih memalukan, janda mualaf berusia 28 tahun yang memeluk Islam ketika berkahwin dengan bekas suaminya tiga tahun dulu seakan-akan membelakangi agama dianutinya apabila kini mempunyai dua anak hasil hubungan luar nikah dengan dua lelaki berbeza.


Usaha wartawan Metro Ahad yang cuba menyelongkar kisah janda ganas ini berhasil apabila penyiasatan dilakukan berjaya menembusi tembok ‘kebal’ wanita itu.

Hidup janda dikenali sebagai Zalika atau Ika itu didapati tidak terurus apabila dia tidak lagi bekerja. Disebabkan itu, kehidupannya bersama dua anak yang masih kecil terumbang-ambing dan serba kekurangan, lebih-lebih lagi apabila si ibu menjadi hamba dadah.

Selepas berjaya memasuki rumah wanita itu menerusi penyamaran, wartawan mendapati Ika tanpa segan silu menghisap syabu di depan anak perempuannya berusia dua tahun.

Selain itu, keadaan rumah yang sempit, tidak terurus, berbau serta kotor juga tidak sesuai buat wanita ini membesarkan anaknya, termasuk paling kecil berusia empat bulan.

Menurut Ika yang berasal dari Johor Bahru, pada mulanya dia berhijrah ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan pekerjaan tetapi selepas beberapa bulan di bandar raya ini, dia mengenali seorang lelaki beragama Islam dan kemudian merancang untuk berkahwin.

“Masa itu umur saya baru 23 tahun tetapi sudah berjinak-jinak dengan heroin dan syabu. Pada waktu itu juga saya dan keluarga penganut agama Kristian.

“Tidak lama selepas itu, kami mengikat tali pertunangan dan saya bertekad ingin mempelajari Islam dan memeluk agama itu sebelum kami bernikah serta meninggalkan segala tabiat buruk yang pernah saya lakukan.

“Selepas berkahwin, keluarga mentua menyambut baik kedatangan saya sebagai saudara baru. Mereka mengajar dan membimbing saya mengenai pelbagai ilmu agama seperti bagaimana mahu menunaikan solat, membaca al-Quran dan menutup aurat seperti memakai tudung,” katanya.

Bagaimanapun, Ika menjelaskan, tanggungjawab terbabit yang sepatutnya dipikul bekas suaminya sering diabaikan dan lelaki itu menyerahkan segala-galanya kepada keluarga.

“Pada mulanya saya pelik kenapa bekas suami tidak mengajar saya mengenai perkara itu? Saya saudara baru yang harus dibimbing olehnya, tetapi perkara lain pula berlaku.

“Selepas tiga tahun berkahwin dan dikurniakan dua cahaya mata, tiba-tiba bekas suami benci dan muak melihat saya tanpa sebab. Dia juga secara terang-terangan mengatakan ada teman wanita baru dan ingin menceraikan saya.

“Hati wanita mana tidak hancur mendengar kenyataan itu, lebih-lebih lagi saya sanggup meninggalkan keluarga kerana cinta dan sayang kepadanya,” katanya.

Selepas diceraikan, kedua-dua anak wanita ini diambil bekas suaminya. Patah hati dengan tindakan itu dan bergelar janda pada usia 26 tahun, Ika mengambil keputusan tidak lagi menjalin ikatan dengan keluarga bekas suami dan mencari hala hidup baru.

Bagaimanapun, sinar dicari tidak ditemui apabila wanita ini mula berkawan dengan rakan lamanya. Sejak itu, Ika kembali mengambil dadah untuk melupakan masalahnya serta mengamalkan seks bebas sehingga terlanjur dengan teman lelaki.

“Selepas bercerai, saya seakan-akan hilang arah dan tidak tahu ke mana ingin dituju. Walaupun keluarga masih menerima saya, saya tidak mahu menyusahkan mereka kerana mereka juga bukan orang senang.

“Saya mengambil keputusan untuk hidup sendirian dan bergaul semula dengan teman lama. Lama-kelamaan, saya kembali mengambil dadah, melakukan seks bebas dan menyertai kumpulan kongsi gelap untuk melepaskan tekanan hidup,” katanya.

Selepas dua tahun menjanda, Ika tidak mempunyai kerja tetap dan kadangkala hanya menjadi pelayan separuh masa di sebuah restoran berdekatan rumahnya bagi menyara kehidupannya dan dua anak tidak sah taraf terbabit.

Menurut anak kedua daripada tujuh beradik ini, dia tidak mempunyai kelayakan untuk mendapatkan kerja yang baik, malah akibat pengambilan dadah, tingkah laku yang berbeza membataskan pergaulannya dengan orang ramai.

“Saya tidak ada keyakinan untuk mencari pekerjaan. Yang boleh saya lakukan ialah mencari kerja separuh masa saja. Walaupun tidak cukup untuk menampung belanja saya dan anak, sedikit sebanyak ia membantu. Paling tidak, saya menjadi ‘pusher’ menjual dadah secara kecil-kecilan.

“Kadangkala, kawan terdekat dan keluarga turut memberi bantuan untuk saya menyediakan keperluan dua anak. Walaupun tidak mewah, ia memadai bagi kami meneruskan kehidupan,” katanya.

Meskipun sudah lama terjebak dengan pelbagai gejala sosial sehingga membinasakan dirinya, Ika masih mengharapkan peluang kedua untuk kembali ke jalan asal.

Namun, sehingga kini apa saja dilakukannya menjadi serba tidak kena dan sering tersalah arah. Malah, Ika juga sedar tabiatnya menghisap dadah boleh mempengaruhi anaknya dan membinasakan hidup mereka.

“Saya seakan-akan berputus asa untuk meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi hidup saya tidak terurus dan sering berdepan masalah.

“Sebenarnya, saya pernah terfikir untuk menyerahkan dua anak ini kepada rumah kebajikan tetapi tidak sanggup berpisah dengan mereka.

“Saya sedar perangai buruk saya akan turut memakan diri mereka. Namun begitu, saya hanya ada mereka sebagai penguat semangat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BLOG PILIHAN