Thursday, May 17, 2012

Wanita curi bunga di kubur

LONDON: Ini gambar mengejutkan yang menunjukkan seorang wanita mencuri di kubur seorang kanak-kanak.

Keluarga kanak-kanak berusia 11 tahun itu yang mati dilanggar sebuah kereta pada 1980, memasang kamera litar tertutup di tanah perkuburan di Barking, Essex, selepas barangan yang mereka letakkan di kubur itu dicuri berulang kali.


Mereka terkejut apabila rakaman kamera berkenaan menunjukkan seorang wanita mengambil pasu bunga dari kubur kanak-kanak itu dan memasukkannya ke dalam beg tangannya.

Steve Rose, sepupu si mati, memasang kamera berkenaan di atas sebatang pokok berhampiran kubur kanak-kanak itu selepas barangan perhiasan dan bunga yang diletakkan keluarga itu hilang setiap dua minggu sejak 18 bulan lalu.

Rose, 37, berkata: “Saya baru berusia enam tahun apabila dia mati. Ibu saudara saya yang mati dua tahun lalu tidak pernah melupakan kejadian itu. “Kerana itu, kami begitu kecewa dengan kejadian curi di kubur sepupu saya.” Keluarga berkenaan sebelum ini merayu pencuri menghentikan perbuatan mereka tetapi rayuan itu tidak diendahkan.

“Kami meninggalkan nota merayu mereka berhenti mencuri, tetapi mereka tidak mempedulikannya. Mereka tidak malu,” kata Rose, pemandu teksi di London.

Sementara itu, jurucakap Polis London berkata: “Pihak kami mahukan maklumat mengenai identiti wanita dalam gambar itu. ‘Dia dikehendaki untuk disoalsiasat oleh polis berhubung kecurian bunga yang ditinggalkan di kawasan kubur di Rippleside.

“Polis memahami perasaan keluarga yang berdepan dengan kecurian seumpama itu.” Menurut Rose, kakitangan tanah perkuburan itu membenarkannya memasang kamera berkenaan.

Majlis Tempatan Barking Dan Dagenham berkata, kecurian di tanah perkuburan jarang berlaku dan berikrar untuk bekerjasama dengan polis.

Bagaimanapun, jurucakapnya enggan mengulas mengenai wanita yang gambarnya dirakam dalam kamera Rose. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BLOG PILIHAN