Thursday, May 10, 2012

Dapat ganti rugi buli sebanyak RM474.7 billion

CHICAGO, Amerika Syarikat (AS) - Juri di sebuah mahkamah di daerah Fayatte, negeri Texas pada Selasa lalu memutuskan ganti rugi sebanyak AS$150 bilion (RM474.7 bilion) diberikan kepada keluarga seorang budak lelaki yang terbakar pada ulang tahun kelahirannya yang kelapan akibat dibuli oleh seorang jirannya, kata seorang peguamnya kelmarin.

Budak lelaki itu, Robbie Middleton diserang oleh seorang jiran, Don Wilburn Collins yang berusia 13 tahun pada 28 Jun 1998.

Collins mengikat Middleton di sebuah hutan dan mencurahkan badan mangsa dengan minyak tanah sebelum membakarnya.

Middleton berjaya melepaskan diri dan meminta bantuan.


Selama lima bulan, Middleton sengsara kerana terpaksa berulang kali menjalani pembedahan untuk menggantikan kulitnya.

Dia meninggal dunia akibat kanser kulit pada 29 April lalu.

Seluruh badannya terbakar kecuali tapak kakinya.

Middleton yang pernah memberikan keterangan menerusi rakaman video menyatakan Collins melakukan serangan seksual ke atasnya dua minggu sebelum serangan tersebut berlaku.

Middleton turut merayu kepada juri supaya memberikan keadilan kepadanya.

"Juri memberitahu kami selepas perbicaraan berakhir bahawa keputusan memberikan pampasan terbesar dalam sejarah AS itu bagi memastikan mesej mereka didengari (sebagai pengajaran supaya perkara yang sama tidak berulang lagi,)" kata peguam keluarga Middleton, Craig Sico.

Walaupun ganti rugi itu sudah diputuskan, keluarga Middleton memang mengetahui mereka tidak akan dapat memperoleh RM474.4 bilion itu daripada Collins yang telah merosakkan kehidupan anak mereka, kata Sico.

Tujuan sebenar tuntutan sivil berkenaan difailkan adalah untuk memberi tekanan kepada pihak pendakwa raya Daerah Montgomery, Texas supaya mendakwa Collins kerana membunuh.

Collins yang kini berusia 26 tahun masih berada di dalam penjara kerana kesalahan lain.


Dia tidak hadir dalam perbicaraan Middleton.

Collins dihukum penjara semasa dia berusia 16 tahun kerana didapati bersalah mencabul seorang budak lelaki lain yang berusia lapan tahun.

Dia menghabiskan masa empat tahun di sebuah penjara juvenil sebelum dibebaskan.

Namun, dia dipenjarakan semula tidak lama kemudian kerana mencuri dan enggan mendaftarkan diri sebagai pesalah seks.

Dia akan dibebaskan pada tahun depan.

Rekod ganti rugi terbesar sebelum ini di AS adalah berjumlah AS$145 bilion (RM458.9 bilion) ke atas sebuah syarikat tembakau oleh juri di negeri Florida pada 2000 tetapi keputusan tersebut kemudian diubah. - Agensi


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BLOG PILIHAN