Sunday, April 29, 2012

Ambil senapang bapa tembak dada adik


RIYADH: Polis daerah Asir masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca bagaimana seorang budak lelaki berusia sembilan tahun boleh mengambil senapang bapanya dan menembak dada adiknya yang baru berusia tiga tahun.

Jurucakap polis Asir, Abdullah al-Qarni, semalam berkata mangsa dikejarkan ke hospital dan masih diberikan rawatan rapi.

Katanya, orang ramai yang memiliki senjata api mesti memastikan ia hanya disimpan di tempat selamat bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.“Pastikan ia tidak dapat dicapai kanak-kanak,” katanya.

Sehingga semalam, katanya, polis masih menjalankan siasatan terhadap insiden itu."Tindakan lanjut hanya akan diambil selepas siasatan itu disiapkan,” katanya.

Pada 2009, Arab Saudi mula mengeluarkan lesen kepada ahli perniagaan untuk membuka kedai menjual senjata api sebagai langkah kerajaan mengehadkan jumlah pemilikan senjata di negara itu.

Menurut undang-undang, jika berlaku kecuaian membabitkan senjata api itu, pemiliknya boleh dikenakan denda hampir RM5,000 atau penjara sehingga setahun.

Kerajaan juga mengenakan syarat tertentu bagi mana-mana pihak yang ingin memiliki senjata api. Pemohon mestilah berusia sekurang-kurangnya 21 tahun, tidak mempunyai rekod jenayah dan waras.

Peniaga pula mesti berusia sekurang-kurangnya 25 tahun dan memiliki modal RM500,000.

Penjualan dan pembelian senjata api tanpa lesen boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda hampir RM7,000.Difahamkan, pada 2009, seramai 1,091 warga Arab Saudi memiliki senjata api.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BLOG PILIHAN