Saturday, April 21, 2012

Ibubapa Perlu Sedar Gerakan Liberal Mahasiswa



"SECARA ringkas, liberalisme adalah seruan yang menuntut kebebasan manusia dan memperjuangkan kefahaman egalitarian atau dalam bahasa yang lebih mudah; seruan kesamarataan. Seseorang yang liberal juga mendokong hak kebebasan beragama serta mengamalkan apa yang dipercayai selaras dengan prinsip rasional seseorang."

Demikian tulis Luqman Abd Hamid, AJK Kajian dan Informasi PEMBINA, dalam Harakahdaily hari ini.

Menurutnya, salah satu platform atau gerakan yang semakin menapak di kalangan mahasiswa adalah‘OccupyDataran’.. Berakar-umbikan ideologi liberal, kini telah mencetuskan satu ‘pandemic’ baru dalam kalangan mahasiswa.

Secara ringkas, Occupy Dataran adalah satu kesinambungan Occupy Movement yang terinspirasi dari protest di Tahrir Square.Terkenal dengan cara pemakaian topeng Guy Fawkes, mereka adalah generasi yang mengimpikan demokrasi dalam konteks lebih luas. Seruan dilaungkan gerakan ini supaya mencetuskan satu budaya politik melebihi bangsa, ideologi, kepercayaan, jantina serta afiliasi politik.

Menurut sumber, Occupy Dataran bukanlah satu bentuk organisasi tetapi sebuah platform yang tidak punyai pemimpin dan ahli. Tiada siapa punya autoriti kepada yang lain. Kesemuanya sama rata, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi. Masing-masing bebas meluahkan rasa dan bebas membuat keputusan ketika sesi persidangan berlangsung.

Menurut Luqman lagi...

"Apa yang parahnya adalah apabila terdapat unsur liberalisasi dalam banyak hal. Kata mereka sebagai contoh, keputusan yang diputuskan pada sesi persidangan adalah hasil perbincangan yang punya hujah yang konkrit. Namun begitu, keputusan yang dibuat melalui hujah konkrit tetapi tanpa dasar ilmu yang kuat bukanlah suatu keputusan yang benar dan haq.

"Selama persidangan, keputusan yang dibuat hanya berdasarkan logik akal semata, emosi dan perasaan, pembacaan yang tiada kesahihan sumber, dan hanya berasaskan suara majoriti. Semakin bahaya apabila keputusan yang dibuat tanpa mereka perlu bertanggungjawab ke atasnya kerana ahli “syura” boleh daripada sesiapa sahaja yang hadir serta boleh keluar dan berlepas tangan daripada menjadi ahli “syura” tanpa ada apa-apa kebertanggungjawaban daripada dirinya.

"Kesemua ini adalah LIBERAL!! Bahkan ia tidak terlepas daripada kecelaruan yang sangat serius, iaitu ia merupakan satu platform yang tiada kejelasan agenda. Masing-masing boleh mengisi agenda tanpa ada saringan fikrah dan kredibiliti. Andai yang menetapkan agenda adalah mereka yang ingin memusnahkan Islam, yang ingin menghancurkan ummat, membawa fikiran dan aqidah yang salah malahan sesat, adakah ummat Islam akan membiarkan sahaja perkara begini?

"Analogi mudah, seperti membiarkan “butang” melancarkan bom nukleur yang diletakkan di dataran merdeka yang bebas untuk ditekan oleh sesiapa sahaja. Pada penglihatan saya adalah sesuatu yang membahayakan jika arus ini dibiarkan begitu sahaja.

"Setelah umum mengetahui terdapat gerakan mahasiswa yang diketuai oleh individu yang berkefahaman syiah, mampukah gerakan mahasiswa arus liberal yang dibawa oleh ‘Occupy Dataran’ ditangani oleh mahasiswa Islam? Adakah mahasiswa Islam kini mahu menoleh kebelakang dengan mendokong kefahaman sekular yang dibawanya dengan menjemputnya dipelbagai demostrasi dan forum mahasiswa? " Jelas beliau lagi.

Bahkan menurutnya, penglibatan Fahmi Reza (pendokong kuat gerakkan ‘Occupy Dataran’) dalam ‘Punk Forum :Apakah Peranan Punk Dalam Masyarakat’ dan tayangan filem ‘Taqwa Core: The Birth of Punk Islam’, menimbulkan lagi persoalan, adakah Fahmi mahu mendidik masyarakat mengikut acuan barat? Fahmi merupakan seorang designer yang dahulunya menuntut di USA..

Akhirnya, tulis Lukman, jika ditanya apakah jalan penyelesian kepada kemelut ini, maka tiada jawapan lain yang dapat beliau unjurkan melainkan dengan memahami ungkapan ‘Al-Islam huwa al-hal’ (Islamlah satu-satunya penyelesaian).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BLOG PILIHAN