SHAH ALAM - HIJABISTA, produk terbaru dalam siri terbitan Kumpulan Media Karangkraf - kini berada di pasaran - majalah pertama di negara ini khusus bagi memenuhi cita rasa dan bertindak sebagai peneraju arah dan inspirasi kepada dunia fesyen berhijab.
Kemunculan majalah bulanan ini akan membantu generasi muda, berusia antara 21 hingga 35 tahun, untuk menyambut revolusi hijab yang hangat diperkatakan dalam dunia fesyen tempatan dan antarabangsa masa kini, kata Editornya, Nursuziana Zulkifli.
"Pastinya kita yang peka terhadap trend terkini tidak mampu sekadar menjadi pemerhati," kata beliau sambil menyeru mereka yang berminat, "jadi, ayuh, wanita dan gadis di luar sana mulakan langkah kita untuk menghayati kemeriahan fesyen sopan lagi stailo, rajin-rajinkan diri merujuk HIJABISTA."
Edisi pengenalan keluaran April 2012, akan berada di pasaran selama dua bulan sebelum kemunculan isu pertama iaitu pada bulan Julai 2012.
Di ruangan pemula kata edisi pengenalan yang kini berada di pasaran, Nursuziana berkata, bercakap tentang bicara santun berhijab pula, baik yang sedia berkerudung mahupun yang baru berjinak-jinak dengannya, pasti mendambakan untuk menjadi sebahagian komuniti ini selepas menatap HIJABISTA kerana ia menjentik ilham-ilham baru busana dan pemakaian berhijab yang selama ini tidak dipersembahkan dengan cara yang diingini.
"Bukan begitu?" sambung beliau ketika menceritakan konsep majalah yang ke-29 keluaran Kumpulan Media Karangkraf.
Mengulas lanjut mengenai erti HIJABISTA, kata beliau, ia sebenarnya merupakan ungkapan slanga yang menggabungkan dua perkataan iaitu hijab dan fashionista.
"Maka wujudlah terma HIJABISTA," kata Nursuziana.
Dalam konteks lain, tambah beliau, HIJABISTA merujuk kepada stail dan fesyen berhijab dari hujung rambut ke hujung kaki.
"Tidak salah bagi si gadis untuk bebas mengekspresikan gaya 'trendy' acuannya tersendiri, asalkan berbusana santun dan tidak memperkotak-katikkan soal syariat," katanya lagi.
Selari dengan konsep, HIJABISTA mempertaruhkan 'tagline' yang berbunyi STAILO & SOPAN.
Menyentuh elemen stailo dan sopan, Nursuziana menekankan bahawa tidak kira apa sahaja yang dilakukan, harus mempamerkan "imej stailo tapi dalam nada kesantunan."
Katanya, gaya hijab kini telah beralih angin dari ‘tudung langsung pakai’ ke lilitan selendang atau skarf di kalangan generasi muda.
Dalam erti kata lain, fesyen berhijab itu sendiri telah banyak melalui era modifikasi. Sama ada gaya funki atau elegan yang ingin ditonjolkan, seelok-eloknya tampil sopan, ya para hijabista!
"Saya percaya setakat ini, HIJABISTA merupakan satu-satunya majalah fesyen berhijab sulung yang mengangkat imej si gadis sopan.
"Jika sebelum ini, hanya timbunan fesyen untuk si fashionista dipaparkan menghiasi majalah-majalah di pasaran, namun kehadiran HIJABISTA bakal merubah segalanya.
Nursuziana menambah, dengan menekankan aspek lebih fokus dan selektif, sajian trend fesyen untuk si gadis berhijab pasti memukau semua pembaca.
"Saya yakin bahawa dengan kehadiran HIJABISTA di pasaran, akan menjadi pemula dan pencetus trend berhijab di negara kita.
"Kami di HIJABISTA, seratus peratus yakin akan dapat mengepalai fenomena hijab di Malaysia atau maksud lain, menjadi ‘trendsetter’," katanya lagi.
Menyentuh tentang pengisian HIJABISTA pula, katanya, 70 peratus terdiri daripada fesyen semata-mata dan "yang pasti, ia padat, berinformasi dan paling afdal, rujukan utama bagi si manis berkarakter berani yang ingin berkarya daripada segi penampilan."
sinar harian
sinar harian
No comments:
Post a Comment