Tuesday, April 24, 2012

Lelaki cari adik maut dirempuh komuter

Lelaki cari adik maut dirempuh komuter
Gambar sebagai hiasan
SHAH ALAM: Hasrat seorang lelaki yang mahu mencari adik kandungnya tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh komuter dalam kejadian di Seksyen 15, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa mencari adiknya sejak dua minggu lalu berdasarkan maklumat yang diperoleh dari seorang pemandu teksi sekitar Shah Alam yang memaklumkan kepada polis sejurus selepas mayat mangsa ditemui.

Dalam kejadian 9.20 pagi itu, mangsa yang berusia 50-an dipercayai berasal dari Ladang Raja Musa, Kuala Selangor.

Setakat ini, identiti mangsa belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui polis di tempat kejadian.

Jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, kejadian berlaku di Kilometer 22.5 membabitkan komuter dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Pelabuhan Klang.

Katanya, pemandu menghentikan komuter secara mengejut selepas menyedari seorang lelaki melintasi landasan berkenaan walaupun hon kecemasan sudah dibunyikan beberapa kali, namun tidak diendahkan.

“Sejurus selepas kejadian, pemandu komuter berkenaan memaklumkan kejadian kepada pihak KTMB sebelum kami menghubungi polis dan bergegas ke tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Saksi kejadian, Mohd Zul Hazlin Sameon, 19, berkata ketika kejadian dia mengawal di pintu belakang kilang apabila dia nampak komuter berhenti secara tiba-tiba.

Katanya, apabila komuter perlahan, pemandu terbabit menunjukkan sesuatu ke arah belakang komuter.

“Saya pergi dekat pagar untuk periksa apa yang ditunjukkan pemandu berkenaan, tapi saya tidak nampak apa-apa.

“Saya hanya sedar ada orang dilanggar komuter sebaik nampak kereta peronda polis datang dan beberapa anggota polis memasuki kawasan landasan,” katanya yang juga pengawal keselamatan di kilang berhampiran. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa disahkan mati di tempat kejadian kerana parah di kepala, pinggang dan kaki. Kes kemalangan berkenaan disiasat sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk bedah siasat.

Zahedi berkata, sesiapa yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk memberi maklumat.

Sumber : Hmetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BLOG PILIHAN